- Pengertian budi
Perkataan budi –
berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu Buddhi
yang bermakna bijak, pekerti baik
dan mulia (Teuku Iskandar, 1970).
Menurut Kamus Dewan (2005), budi bermaksud akal dan kebijaksanaan,
atau perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak, atau sifat baik,
perbuatan baik, kebajikan, bicara dan daya upaya yang baik.
Menurut Islam, budi ialah adab, sopan santun yang
menunjukkan seseorang itu berakhlak dan beriman. Dalam Islam, akhlak mulia amat
penting dan dipupuk dari kecil hinggalah dewasa. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda
yang bermaksud: “Paling dekat dengan aku kedudukannya pada hari kiamat ialah orang yang
paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap
keluarganya.” (Riwayat Ar-Ridha).
Bagi Mustafa Haji Daud (1995) pula, menjelaskan perkataan
budi apabila ditambah dengan awal “ber” menjadi berbudi atau “man” di akhirnya
menjadi budiman akan membawa maksud seseorang yang mempunyai budi bahasa, adab sopan, bersungguh-sungguh
dalam pekerjaan, mempunyai daya ikhtiar yang tinggi, matang, bijaksana dalam
membuat sesuatu keputusan dan yang paling penting banyak menabur jasa dan bakti.
Penjelasan ini merangkumi aspek pertuturan, tingkah laku, dan pemikiran yang
berakhlak mulia dan terpuji.
Manakala bagi masyarakat Melayu, perkataan budi itu
membawa pelbagai maksud antaranya jasa
dan sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain. Budi merupakan sifat
atau perbuatan yang merujuk kepada perbuatan yang menyenangkan hati orang lain.
- Pengertian Bahasa
Menurut Kamus Dewan (2002), bahasa ialah sistem lambang bunyi
suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia,
dan percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, dan sopan santun.
Bagi Ferdinand de Saussure (1960), seorang sarjana linguistik
Swiss pada awal abad ke-20 menyatakan
bahasa merupakan satu sistem isyarat yang abstrak yang mempunyai struktur
tertentu yang digunakan untuk berinteraksi dalam masyarakat. Pertuturan
merupakan hasil perlakuan bahasa untuk melahirkan perasaan.
Menurut Noam Chomsky (1957), bahasa mengandungi satu set
ayat yang tidak terhingga dan tidak terbatas yang terbentuk daripada unsur
bahasa yang dikenali sebagai fonem. Setiap ayat diwakili oleh beberapa fonem
yang digabungkan secara berurutan.
Menurut Asmah Hj. Omar (1986), bahasa merupakan bunyi
yang dihasilkan oleh alat-alat ujaran yang terdapat dalam rongga mulut dan
rongga tekak manusia. Simbol-simbol bunyi ini mempunyai makna tersendiri yang
difahami oleh kelompok masyarakat tersebut.
Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985), mendefinisikan
bahasa sebagai alat untuk menyatakan perasaan, pendapat, fikiran dan
sebagainya. Takrif ini selaras dengan pengertian yang diberikan oleh Edward
Sapir yang menjelaskan bahasa ialah suatu sistem lambang-lambang pertuturan
yang digunakan oleh manusia secara arbitrary untuk menyampaikan fikiran dan
perasaan. Sama juga dengan Raja Mukhtaruddin yang berpendapat bahawa ahli-ahli
bahasa terlebih dahulu mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang-lambang
pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh masyarakat.
Manakala Lutfi Abas (1985), mendefinisikan bahasa ialah
data yang dianalisis dalam linguistik. Bahasa ialah suatu sistem simbol-simbol
yang terdiri daripada bunyi-bunyi yang diucapkan dalam atau melalui mulut
manusia, yang dipersetujui bersama, dipelajari oleh sekelompok manusia dan
dengan simbol-simbolnya pula sekelompok manusia itu berkomunikasi.
Perkataan budi dan bahasa apabila digabungkan akan menjadi kata majmuk budi bahasa. Secara literalnya budi bermaksud kebaikan yang dilakukan oleh seseorang individu dan bahasa bermaksud sistem lambing bunyi suara yang digunakan dalam perhubungan. Pengertian budi bahasa meliputi tutur kata, tingkah laku, pemikiran dan perasaan seseorang individu atau masyarakat.- Pengertian Budi Bahasa
Dalam Islam, budi bahasa dimaksudkan sebagai akhlak atau peribadi yang mulia. Akhlak yang mulia dalam pergaulan masyarakat dinilai daripada tutur kata yang baik. Dalam hal ini Nabi Muhammad S.A.W. menyarankan dalam sabdanya yang bermaksud: “Apabila kamu saling berjumpa, maka saling mengucap salam dan bersalam-salaman, dan apabila berpisah maka berpisahlah dengan ucapan istighfar.” (Riwayat Ath-Thawawi). Seseorang yang berbudi bahasa, akan memiliki sikap yang bersopan santun secara tidak langsung mempamerkan akhlak yang mulia. Maka tidak hairanlah dalam Islam, Allah SWT menganjurkan hamba-hambanya supaya berakhlak mulia. Agama Islam sendiri sangat menitikberatkan sikap berbudi bahasa melalui akhlak rasulnya. Allah SWT sendiri memuji akhlak nabi yang muia melalui Firman Allah dalam surah Al-Qalam Ayat 4 yang bermaksud “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang mulia”. Islam sangat menganjurkan umatnya berbudi bahasa melalui hadis riwayat Bukhari, Rasullulah S.A.W. bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berbicara dengan baik atau diam saja”.
Nilai berbudi bahasa juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam agama Buddha. Misalnya dalam agama Buddha ada dinyatakan: ‘Words have the power to both destroy and heal. When words are both true and kind, they can change our world’. Ajaran Konfusius menekankan konsep lima hubungan dikenali sebagai Wulan yang mementingkan hubungan yang baik dan harmonis antara raja dan menteri, ayah dengan anak, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan. Lima hubungan tersebut akan terjalin sekiranya wujud nilai berbudi bahasa antara satu sama lain.
Begitu juga dalam agama Hindu, nilai berbudi bahasa dalam sistem kekeluargaan sangat-sangat dititikberatkan bagi mewujudkan perpaduan yang erat. Nilai ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi berteraskan aspek ashrama dharma iaitu tahap yang harus dilalui oleh manusia dan aspek purusharta yang merangkumi empat objektif mulia yang perlu ada pada manusia iaitu aramldharma, porullartha, inbamlkama dan vidulmoksha yang berasaskan moral dan etika termasuk budi bahasa dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment